Rabu, 5 Februari 2014

Friendship Bracelet

Inline image 1


Ini cerpen saya buat saja-saja je ye.. Ada sikit saya tiru dalam kehidupan sebenar saya. Yang penting, Enjoy :)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~`


Aku, Amna dan Nina pantas keluar daripada bilik solat. Sungguh, kami tidak sabar untuk meneruskan pengembaraan kami di Melaka Bandaraya Bersejarah ini. Lagipun, ini kali pertama kami menurut serta lawatan sambil belajar ke Melaka. Pasti seronok!

Amna memandang kiri dan kanannya. Dia tersengih, “Nampaknya kitalah orang paling awal siap solat!”

“Eh, tu kerusi kosong! Jom duduk!” Nina menunjuk ke arah sebuah meja dan empat buah kerusi. Kebetulan di sebelah bilik solat, terdapat banyak restoran. Kami mengambil tempat duduk di salah satu tempat kosong.

“Eeii.. tak sabarnya nak shopping lepas ni! Mana Cikgu Hafizah dan Cikgu Yati ni?” Amna tak sedap duduk. Goyang sana, goyang sini, memang tak sabar betul! Aku dan Nina hanya tersenyum melihat kerenah kawan kami ini. Kami berkawan sejak darjah satu lagi. Aku dan Nina berjiran. Rumah Nina dan Amna pula selang tiga buah rumah sahaja. Jadi, senang kami bertemu.

Aku memerhatikan tempat beli-belah ini. Tak ramai orang. Pasti sebab hari ni hari sekolah. Cikgu pengiring kami, Cikgu Hafizah memang sengaja pilih hari Selasa. Tak ramai orang. Tak mudah sesat. Baru lancar pergerakan kami.

Aku dah dengar ramai kawan-kawan aku cakap, kat Melaka ni ada banyak keychain yang boleh tulis nama sendiri. Bab tu aku memang kagum dan cepatlah aku pasang telinga. Harganya pun selalu murah. Kadang-kadang 2 ringgit. Yela, aku ingat murah tapi dulu-dulu boleh dikatakan mahal. Duit mama buat belanja sekolah pun 20 sen. Zaman sekarang ada yang pergi sekolah bawa 10 ringgit. Tak tipu.

“Haa.,, tu pun Cikgu Hafizah dan Cikgu Yati!” Tersentak aku tiba-tiba Nina menjerit di sebelahku.

“Orang tak pekak. Cakap la slow sikit! Dah la duduk sebelah orang, menjerit tak tentu pasal pula. Adeei,, sakit telinga saya tau!” tegurku. Nina hanya tersengih. Aku menggosok-gosok telingaku. Berdesing!

Beberapa minit kemudian, semakin ramai murid-murid perempuan tahun lima keluar daripada bilik solat. Setelah kesemuanya selesai menunaikan solat jama’ Zuhur dan Asar, Cikgu Yati berkata.

“Baiklah, yang dah siap solat tu, boleh beli barang apa yang korang nak. Pastikan jalan dengan kawan. Dah siap duduk diam-diam kat depan tu. Jangan lama sangat.”

“Baik, cikgu!” jawab kami semua. Murid-murid perempuan yang lain terus menuju ke gerai pilihan mereka. Semuanya berjalan berkumpulan. Lalu, apalagi, aku, Nina dan Amna pantas mengeluarkan dompet masing-masing. Kenalah kira duit dulu sebelum shopping. Baru boleh rancang nak beli apa.

Aku kira duitku satu-persatu. Hmm.. 30 ringgit cuma. Pagi tadi abah kasi aku 10 ringgit untuk dibuat belanja. Tambah lagi duit tabung aku yang dah hampir nak memuntahkan isinya tu, memang dah lama aku kumpul. Sejak dapat tahu yang cikgu nak buat lawatan sambil belajar ni. 70 ringgit! Ambik kau! Tapi, aku tak lah nak guna banyak sangat. Aku cuma ambik 35 ringgit je. Nak ambik banyak-banyak takut mama nampak. Kang habis duit belanja aku kena potong.

Masa kat Taman Rama-rama, aku ada beli anak patung Zirafah kat kedai cenderahati. Aku pun tak taulah sesat mana anak patung Zirafah kat Taman Rama-rama dan Reptilia. Apa yang penting, ia comel nak diberi kat adik sedara aku yang kebetulan mama tengah jaga kat rumah.

“Auni, Nina, jom jalan-jalan kat bawah dulu. Fatin cakap, kat sini ada banyak keychain tu. Sampai dia tak tau nak pergi gerai yang mana.” Kata Amna. Fatin ialah jiran Amna yang pernah pergi ke Melaka. Dia tak dapat mengikuti lawatan kali ni kerana demam. Nasib.. Takpe lah Fatin, asal kau pernah pergi Melaka, sudah.

Amna dan Nina mendahului aku melalui lorong dalam bangunan besar itu. Hendak jalan beriringan, lorong itu terlalu sempit. Sedang aku leka memerhati baju-baju dan aksesori di situ, tiba-tiba Amna dan Nina berhenti menyebabkan aku terlanggar mereka. Kami pun jatuh..

“Hei, kenapa ni?” marah Amna.

“Koranglah. Yang korang berhenti tiba-tiba dah kenapa?” balasku. Aku cepat-cepat bangun lalu menghulurkan tangan menolong Nina dan Amna. Aku memandang ke sebelahku. Ada seorang penjual lelaki. Oh, rupanya diorang berhenti sebab nak beli benda. Hehehe.. Ampunkan saya penghuni gua..

“Wah, cantiknya.” Aku terus menjadi rambang mata sebaik sahaja terlihat puluhan gelang tangan buatan sendiri di gerai pak cik itu. Ada yang tergantung di dinding dan ada juga yang disusun di atas meja. Semuanya cantik-cantik dengan corak tersendiri!

“Auni, kita beli satu, nak?” bisik Amna agar tidak dapat didengari abang penjual. Amna memang pemalu sikit dengan orang yang baru jumpa. Cuba dah kenal lima tahun macam aku ni. Perangai memang tak boleh blah!

“Abang, ni berapa satu?” tanya Nina. Nina takpe, dia memang mudah mesra. Sebab tulah ramai orang suka kawan dengannya.

“Satu ni dua ringgit. Yang besar tu empat ringgit.” Balas pak cik penjual itu sambil tersenyum. Kami saling memandang. Murah juga!

“Kalau kita beli sorang satu, buat friendship bracelet, nak?” aku memberi cadangan.

Friendship bracelet? Apa tu? Saya tak master English macam awak.” Nina mengerutkan dahinya.

“Gelang persahabatan, lah. Kalau kita beli gelang tu, tanda persahabatan kita.” Terangku. Nina mengagguk-angguk faham.

“Boleh juga. Pak cik, boleh kurang tak?” Nina tersengih memandang pak cik tersebut sambil membuat muka manjanya. Aku dan Amna menggeleng.

“Hmm,, disebabkan korang bertiga ni murid sekolah dan comel-comel belaka, pak cik kasi diskaun = satu gelang tiga ringgit. Amacam?” Aku dan Amna terkejut mendengar kata-kata pak cik itu. Mati-mati kitorang ingat pak cik takkan kasi! Wuu.. sporting la pak cik ni!

“Yeke pak cik? Terima kasih banyak-banyak! Arigato Huzaimas! Xiexie! Syukran! Thank you!” habis macam-macam bahasa Nina cakap. Hooray! Boleh jimat sikit!

Kami membeli seorang satu gelang tersebut. Warna sama, tapi corak sahaja lain. Sebaik sahaja memberi duit kepada pak cik yang baik hati itu, kami terus menyarungkannya pada tangan kami. Cantik! Lalu kami mengangkat tinggi-tinggi tangan kami dan disentuh bersama.

“Mulai saat ini, Nurhanina Khalilah, Auni Batrisyia dan Amanina Azizah, berjanji untuk kekal menjadi sahabat. Gelang persahabatan ini sebagai saksi!” ucap Nina bagai ketua pengawas berikrar pada setiap hari perhimpunan. Kami tergelak. Pak cik penjual hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya melihat kerenah kami.

“Eh, cepat! Tempat ni besar! Pasti ada lebih banyak barang yang dijual! Mak saya minta tolong belikan keropok!” kata-kata Amna membuatkan kami tergopoh-gapah.

“Ye tak ye juga! Saya masih belum jumpa kedai jual keychain tulis nama tu!” aku terjerit perlahan sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Eh, buat apa susah? Pak cik ada jual keychain yang macam tu!” ujar pak cik penjual. Aku menghela nafas lega. Tak payahlah kami ‘tawaf’ satu bengunan ni untuk mencari keychain itu!

“Waa.. kedai pak cik ni serbaboleh lah! Brutal! Saya suka pak cik!” pujian Nina membuatkan pak cik penjual itu tersenyum hingga ke telinga. Aku melihat sekeliling gerai pak cik penjual itu. Besar. Macam-macam ada. Baju, keychain, rantai dan lain-lain.


Aku menolak daun pintu. Kedengaran suara Abang Harith asyik menjerit-jerit memanggil aku. Masih awal lagi nak ke sekolah tapi Abang Harith yang tergesa-gesa. Kena tambah power cermin mata lagi ke tak nampak sekarang pukul berapa? Dah lah tadi aku tengah sedap mimpi pasal putera raja.

“Hoi! Kenapa lambat sangat?” jeritnya.

“Kejaplah! Sabar sikit,” suaraku serak-serak. Aku pantas menyarungkan stoking. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Lantas aku menuju ke arah almari lalu membuka laci yang ketiga. Senyumanku menguntum. Aku menyarungkan gelang tersebut di pergelangan tanganku.

“Cepat,,!”

“Iyee,,!!!” Mak aih, nak terkeluar anak tekak aku menjerit. Dah lah tekak rasa perit pagi-pagi ni. Setelah memakai kasut, aku masuk ke dalam perut kereta. Abang Harith menjelingku.

“Macam nak pergi shopping je pakai gelang ni. Beli kat mana?” tanya Abang Harith sambil membetulkan cermin matanya.

“Semalam, kat Melaka. Cantik tak?” aku mendekatkan tanganku di matanya.

“Hei, Yelah.. Abang nampak. Abang tak rabun, ok?”

“Yela tu tak rabun. Habis, kenapa tak nampak sekarang pukul berapa? Sekarang pukul 6:30 pagi la cik abang! Sekolah start pukul 7:20 pagi!” aku sedikit membentak. Rasakan!

“Abang taulah. Cuma, abangkan ada program pukul 7 ni kat Highschool. Tambah masa lagi nak ke bandar. Sebab tu lah nak datang awal-awal. Auni tak ingat ke hari Isnin tu Abang dah kasitau?”

“Oh, yeke.” Aku menggaru kepalaku. Abang Harith ada kasitau ke? Hehehe.. maklumlah, aku ni cepat lupa. Aku tersengih bagai kering busuk. Kemudian ketawa terbahak-bahak!

“Sudahlah, jangan ketawa lagi. Macam big boss pula mama dengar.” Aku terkejut. Mama di tempat pemandu? Selalunya kan Abah?

“Mama? Mama hantar pergi sekolah? Bukan selalunya Abah ke?” bertubi-tubi soalan keluar daripada mulutku.

“Eh, Kakak tak tahu ke?” soal Irfan, adikku yang belajar di Darjah satu.

“Ha.., tulah, ketawa tak ingat dunia, mama hantarkan ke sekolah pun tak perasan. Abah kakak tu, malam semalam pergi Jementah. Ada hal katanya. Bukankah semalam kakak yang beria-ria salam dengan Abah? Tak ingat lagi?” Jawab Mama. Aku tersengih lagi. Pelupa betullah aku ni! Baru berusia 11 tahun dah nyanyok macam orang tua!


“Assalamualaikum..!” kami menjerit serentak kali ketiga di hadapan rumah Aiman. Terpacar riak kecewa di wajah kami.

“Ala, tak boleh masuk ke?” Nina memandang anak-anak kucing comel yang sudah hampir dua minggu umurnya di dalam halaman rumah Aiman, jiran hadapan rumah Amna. Aku pula tak habis-habis mengunyah gula-gula getah perisa anggur yang baru diberi Abang Harith.

“Pasti dia sedang main X-box pemberian ayah dia tu.” Amna membuat andaian. “Tak pun sedang tidur nyenyak!”

Selalunya, tiap-tiap petang, aku, Irfan, Amna dan Nina akan ke rumah Aiman untuk bermain dengan Kikin dan Queen, kucing kampung peliharaan Aiman. Baru-baru ini pula, Queen telah melahirkan tiga ekor anak kucing yang sangat comel! Anak-anak kucing tersebut baru pandai berjalan.

Tiba-tiba Aiman muncul di muka pintu rumahnya. Kami menghela nafas lega. Seketika kemudian, pagar rumahnya terbuka secara automatik. Kami mengundur setapak oleh kerana pintu pagar yang terbuka luas. Setelah pintu pagar bercat siver itu berhenti bergerak, barulah kami masuk.

“Ingatkan awak tengah tidur. Habis kering tekak kami memberi salam.” Mata Amna sempat mengerling Aiman. Aku pula terbongkok-bongkok mengejar anak kucing berbelang oren yang cuba melarikan diri daripadaku. Aku menamakannya Oyen.

“Oyen.. Oyen..! Kenapa lari daripada kakak? Miaaww!!” Aku mengejar Oyen yang akhirnya menyorok di bawah almari. Nina dan Amna ketawa melihat aksiku yang lucu itu.

“Hari ni kita nak main apa?” ujar Irfan. Walaupun beza umurnya dan umur kami agak jauh, namun dia tidak kisah kerana Irfan seperti Nina, cepat mesra. Kerana dia kenal dengan Nina, Amna dan Aiman sejak umurnya 3 tahun.

“Hah, kalau semalam budak lelaki cabar kami main bola sepak, budak perempuan cabar lelaki main bola jaring!” aku menghalakan jari telunjukku ke arah dua orang budak lelaki tersebut. Aku dan Nina memang ‘jaguh bola jaring’. Kami pernah mewakili sekolah ke peringkat daerah.

“Okey.. Boleh!” jawab Aiman yang gemar menyahut cabaran. Irfan pula mulutnya dah melopong dan matanya terbeliak seakan-akan berkata – ‘BOLA JARING?!’

Kami pun mula beraksi di halaman rumah Aiman yang agak besar. Amna tak main, mahu main dengan kucing katanya. Amna leka bermain dengan kucing. Tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia bangun dan macam mencari-cari sesuatu.

“Awak cari apa, Amna?” tegurku, hairan melihat perlakuan aneh Amna.

“Shh.. dengar tak? Macam ada bunyi orang marah-marah.” Kata Amna. Kami pun mendiamkan diri dan mencari bunyi yang dikatakan Amna.

“Eh, a’ alah. Suara siapa tu?” Irfan meletakkan kedua-dua tangannya pada telinganya.

“Khairil!” ujar Nina.

“Yalah! Suara Khairil dan suara kucing!”

Kami pun bergegas ke rumah Khairil yang bencikan kucing. Apakah yang berlaku? Adakah seekor lagi kucing menjadi mangsa Khairil? Ada suatu ketika seekor kucing patah kaki akibat disepak Khairil atas alasan hanya mencuri seekor ikan goreng. Adakah kejadian seperti itu akan berulang lagi? Mudah-mudahan tidak!

Akhirnya, kami tiba di rumah Khairil. Sangkaan kami benar. Seekor kucing terbaring dan menggelupur kesakitan. Ada darah di bahagian kakinya. Ketika itu, kemarahan kami meluap-luap! Aku pantas mengambil kucing yang dalam keadaan 50:50 untuk hidup itu.

“Khairil! Awak sudah melampau!” satu jeritan kedengaran. Kami terkejut benar. Tak sangka Amna menjerit sebegitu kuat! Amna mendekati Khairil dengan berani.

‘Amna! Awak tak akan mampu melawan budak yang saiznya lebih besar dari awak! Mana awak dapat keberanian? Amna! Datang ke sini semula! Dia akan lenyekkan awak macam batu lesung! Amna! Dengar cakap saya!’ aku seperti ingin menjerit ke arah Amna. Namun, tak terkeluar jeritan itu dek kerana gerun melihat saiz badan Khairil yang gempal.

“Awak dah melampau, Khairil! Awak kejam! Itu Cuma kucing, Khairil! Kucing! Dia tak ada akal!” Amna yang sememangnya seorang pencinta kucing tak sedar yang dia sedang berlawan dengan raksasa bersaiz XL!

Khairil tersengih jahat,“ peduli apa aku.”

Amna dengan kemarahan yang tak tertampung itu pantas menyepak kaki Khairil hingga dia tersungkur! Aku dan yang lain melopong melihat pergerakan drastik Amna. Amna yang dahulunya seorang penakut, kini seorang yang berani!

“Kamu dengar sini, Khairil! Jika kamu menyakiti kucing lagi, aku tak akan teragak-agak menelefon polis!” Amna meletakkan kakinya ke atas badang Khairil agar Khairil tidak bangun lagi.


“Tapi, saya hairanlah. Mana awak dapat keberanian nak lawan si Khairil tu?” tanya Nina. Amna terus terdiam. Setelah habis nasi lemak di dalam mulutnya, dia bersuara.

“Entahlah. Masa tu, macam ada orang rasuk saya. Saya tiba-tiba je jadi macam tu. Jangan cerita pasal benda tu lagilah. Yang penting, kucing tu dah dihantar ke klinik haiwan dan disahkan selamat.” Jawab Amna acuh tak acuh. Aku mengangguk-angguk sambil menghirup secawan teh ais.

“Cepatlah. Loceng dah nak berbunyi.” Nina bangkit membawa pinggan yang telah kosong bagi meletakkannya di dalam sebuah besen yang telah disediakan diikiuti aku dan Amna selepas itu. Seperti yang dikatakan, loceng berbunyi sebaik sahaja kaki mereka melangkah keluar kantin.

Tiba di kelas 5 Unggul, Cikgu Norha berada di meja guru menanti kehadiran anak-anak muridnya. Kami menundukkan kepala apabila terlihat guru penolong kanan itu yang garang itu. Aku, Amna dan Nina duduk dalam satu barisan di dalam kelas. Ketika kami mengeluarkan kotak pensel masing-masing, tiba-tiba Amna terjerit kecil.

“Kenapa, Am?” tanyaku.

“Janganlah panggil saya macam tu.” Marah Amna. Amna memang pantang kalau ada orang panggilnya Am. Macam nama lelaki katanya.

“Mana gelang saya? Saya letak kat pencil box ni, kan?” kata Amna, resah.

“A ah lah.. mana ek?” Amna jadikan gelangnya macam keychain. Dia kata dia rimas pakai kat tangan. Tapi, sebelum rehat terletak kemas kat kotak pensel dia. Takkan dicuri kot?

Tiba-tiba pandanganku tertancap ke arah sesuatu. Aku menarik-narik lengan baju kurung Amna. Lalu ku tunjuk ke arah poket seluar Khairil. Punyalah terkejut Amna masa tu. Amna hanya menggigit bibirnya menahan marah apabila sedar Khairil yang mencuri gelangnya.


Aku hanya boleh menongkat dagu memandang keluar tingkap. Hujan yang agak lebat mulai perlahan dan menunjukkan tanda ingin berhenti.Cerahlah harapan kami nak bermain basikal pada hari ini.

Aku mula termenung tentang peristiwa yang berlaku pagi tadi. Gelang Amna telah disahkan oleh Nina bahawa ianya dah jadi milik Khairil. Pada mulanya Amna nak minta gelangnya balik daripada si gempal tu. Tapi, aku halang sebab takut Khairil akan terus berdendam dengan Amna.

Nina cakap juga, tinggal kami berdua saja yang ada gelang, jadi kami berdua harus berjanji agar tidak menghilangkannya. Kami membuat pertaruhan, siapa yang menghilangkan gelang masing-masing akan dikenakan denda. Aku bersetuju.

Tanpa kusedari seseorang telah mengetuk tingkap rumahku. Oh, hujan sudah berhenti rupanya. Nina dan Amna menunjukkan isyarat jumpa di luar rumah. Aku pun hanya menurut. Aku meminta izin mama terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah dan menutup pintu. Selipar merah pantas dipakai. Aku menunggang basikal merahku setelah tongkat basikal sudah dialihkan. Aku mendekati mereka.

“Nak pergi mana petang ni?” ujarku setelah berbalas salam.

“Kita pergi tengok kucing yang kat klinik hari tu?” Amna memberi cadangan dan disetujui oleh aku dan Nina. Kami mengayuh sambil berbual-bual. Sedar tak sedar kami sudah tiba di sebuah klinik haiwan yang tak berapa jauh dari rumahku. Kami menghentikan basikal.

“Assalamualaikum, Kak.” Serentak kami bertiga memberi salam.

“Waalaikumussalam., korang nak tengok Chiki, ya?” sahut Kak Aisha, penjaga kaunter klinik tersebut. Kami terus mengangguk sambil melemparkan senyuman. Ya, Chiki.. itulah nama anak kucing tersebut. Ianya idea daripada.. siapa lagi? Nina lah.

“Hey,, Chiki!!” Amna terus meletakkan anak kucing tersebut ke pangkuannya. Alhamulillah, Chiki semakin sembuh. Chiki menjilat-jilat jari Amna, penyelamatnya daripada Khairil dahulu. Amna tiba-tiba terdiam. Bibirnya digigit.

“Kenapa, Amna?” tanyaku yang perasan akan riak wajah sahabatku yang berubah. Takkan tak happy kot jumpa kucing kesayangan dia tu.

“Saya rasa.. bersalah pula pada Khairil.” Perlahan sahaja suara Amna. Tangannya tidak berhenti mengusap Chiki. “Mungkin apa yang saya lakukan hari tu keterlaluan?”

Aku menggeleng. Inilah sikap Amna. Cepat sangat kasihan. “Amna, apa yang awak lakukan tu saya rasa betul. Sudahlah! Memang salah si Khairil. Yang dia sepak kucing ni dah kenapa? Macam psiko!”

“Yelah, awak ni Amna, cepat sangat kasihan. Lemah lembut sangat.” Ujar Nina sambil memuncungkan bibirnya.

“Tapi..”

“Dah, tak payah tapi tapi! Yang penting sekarang ni, Chiki sudah sembuh!” Nina memotong kata-kata Amna. “Humm.. yelah, Chiki sudah sembuh,” kata Amna, perlahan. Dia mengusap-usap Chiki namun wajahnya masih suram.


Kedengaran lagi bunyi kucing mengiau dari rumah Khairil. Kali ini, agak kuat. Ketika itu kami sedang menolong Kak Izzah membersihkan halaman rumah. Sengaja kami lakukan untuk mendapat upah. Lagipun kami sedang bosan ketika itu.

“Ah, Khairil buat kekejaman lagi ke?” bisikku, gusar.

“Kak, kami nak pergi ke rumah Khairil kejap, boleh?” Nina meminta kebenaran daripada Kak Izzah. Kak Izzah pun membenarkan. Kami bergegas ke rumah Khairil untuk melihat apa yang terjadi. Perasaan risau dan bimbang menyelubungi hati kami ketika itu.

Apa yang kami risaukan berlaku di halaman rumah Khairil, sekali lagi. Seekor lagi ‘mangsa’ berjalan terjengket-jengket. Kakinya patah, mungkin. Kini, kami merenung Khairil. Sungguh tajam renungan kami.

“Khairil! Kamu dah mungkir janji! Nak kami panggil polis kah baru nak insaf?! Kau TAUBAT ke TAUBUAT?” kini, kegeraman aku dah sampai tahap maksima. Sudahlah mencederakan kucing sekali lagi, malah, tak serik-serik pula tu!

Muka Khairil tidak seperti insiden lepas. Hari itu dia tersengih-sengih, kini mukanya seperti terkejut. Terkesima. Dahinya berkerut seribu. Mukanya ditunduk. Mengapa?

Amna hanya mendiamkan diri. Ada sesuatu yang dirasakan dalam hatinya. Aku pula ke hadapan setapak bersama Nina. Kami berdua menuju ke arah Khairil. Nina menampar kasar bahu gempal Khairil.

“Nah, ini balasan kedua!”

Khairil masih lagi terdiam. Bibirnya digigit. Amna kelihatan hairan. Dia dapat rasakan sesuatu. Apabila orang sengaja buat salah, orang tersebut tak akan kelihatan seperti ini. Atau..

“Khairil!”

Kami menoleh ke arah Amna serentak. Dia mendekati kami. Aku sangkakan dia hendak ‘membelasah’ Khairil, namun tidak. Sebaliknya dia bertanya kepada Khairil dengan tenang tetapi agak tegas.

“Cuba ceritakan apa yang berlaku.” Pujuk Amna, tenang. Pada mulanya, Khairil diam tetapi Amna mendesaknya supaya berterus-terang. Akhirnya, Khairil mengalah.


Khairil menamatkan ceritanya. Kami terdiam. Nina menundukkan mukanya. Rasa sesal pula kerana menampar Khairil. Amna pula mengangguk-angguk. Dia tersenyum segaris. Jelas, Khairil tidak bersalah kali ini.

“Maafkan kami, Khairil. Kami sepatutnya bertanya dahulu, bukan marah tak menentu.” Aku tergagap-gagap meminta maaf.

“Yalah. Mana kami tahu yang kucing ni sebenarnya jatuh tingkat dua rumah kamu. Jelas yang kamu tak bersalah. Kami yang salah.” Nina juga mengakui kesalahannya.

“Tidak mengapa, salah saya juga kerana tidak terus-terang. Saya ni penakut sangat. Yang penting, mari kita bawa kucing ni ke klinik. Kasihan pula saya melihatnya.” Kata Khairil.

Kami agak terkejut melihat perubahan ketara Khairil. Apa yang Amna lakukan semasa dia menyepak Khairil dahulu? Apa ‘sihir’ yang diguna Amna? Hebatnya Amna! Khairil yang dahulunya nakal, kini menjadi baik dan jujur!


“Saya pun tak sangka yang Khairil dah jadi baik sekarang,”

“Yalah. Mujarab betul sepakan awak, Amna!” puji Nina yang asyik menjilat ais-krim perisanya keladinya dari tadi. Langkah kaki kami seiring dalam kelajuan sederhana. Amna hanya tersenyum malu mendengar kata-kata Nina. Mukanya merona merah. Itulah Amna yang pemalu!

“Apapun, dia dah tak aniaya kucing dah sekarang. Betul tak?” Katanya. Aku tersenyum dan menjilat ais-krim strawberi aku yang semakin mencair di dalam kon dek terkena bahang matahari tengah hari itu. Masing-masing mempunyai kon ais-krim dalam genggaman.

“Auni.” Pangilan Nina membuatkan aku terhenti menjilat ais-krim. Aku memandang tepat ke arah mata Nina.

“Awak suka Daniel, ya?” Mataku membuntang. Daniel? Apa yang Nina merepek ni?

“Mana ada. Kenapa awak cakap macam tu?” nada suaraku kali ini agak tinggi. Amna yang dari tadi menjadi pemerhati hanya menanti-nanti jawapan daripada Nina.

“Habis, dalam kelas saya tengok awak asyik berbual dengan dia saja. Kena baca petikan pun sama-sama. Lepas tu, saya nampak dia ambilkan pembaris awak yang terjatuh tu, awak tersenyum-senyum je. Ada apa-apa makna ke ni?”

Ketika itu, mukaku mulai terasa panas. Aku cuba menahan marah kerana aku tahu yang Nina cuma bergurau. Agak lama aku mendiamkan diri, akhirnya aku membalas sambil menolak bahu Nina. “Mana ada! Awak ni!”

Ais-krim Nina terjatuh. Dia terdiam sambil memandang ke bawah. Lama.

“Err.. Nina.. awak ok?” aku terkedu seketika. Ais-krim jatuh, takkan marah kot? Aku menyentuh lembut bahu Nina. Terkejut aku apabila Nina menolak tanganku dari bahunya. Kasar. Aku tahu dia sedang marah.

“Tak payahlah!” Nina berjalan laju meninggalkan kami berdua. Aku dan Amna berpandangan. Nina tak pernah begini sebelum ini. Ais-krimnya jatuh sahaja kot? Takkanlah nak marah aku macam tu? Aku merenung lama wajah Amna dengan rasa bersalah dan inginkan jawapan. Amna mengangkat bahunya, tanda tidak tahu.


“Nina..” aku cuba memanggil Nina awak pagi itu. Nina berpura-pura tidak dengar. Aku memanggil lagi. Dia tidak menyahut. Akhirnya, aku pergi ke arahnya dan menyentuh bahunya. Seperti yang aku agak, dia menepis kasar tanganku.

“Kenapa ni, Nina? Awak marah pasal ais-krim tu ke? Kalau awak nak, saya boleh belanja awak lagi satu.. tak! DUA ais-krim petang ni. Asal awak tak macam ni!”

Nina tak menjawab, sebaliknya menghilangkan diri ke arah tandas blok B. Aku tahu dia bukan ke sana untuk membuang air, tapi mengelak daripada aku. Atau.. mungkin dia sakit perut?

Apa yang aku tahu, DIA CUBA MENGELAK DARIPADA AKU!

Sepanjang hari tersebut, dia tidak menegur atau berbual denganku. Bukan kau tidak bertembung dengannya, sebaliknya dia asyik melarikan diri daripada aku. Bukan dengan muka marah, tapi dengan muka bersalah dan malu.  Kalau ye pun, dia buat salah apa pada aku?

Aku dah kejar dia banyak kali, tapi Nina tu ‘hero’ pasukan Merah dalam acara lumba lari. Aku ni pun tak aktif sangat dalam sukan. Aku hairan.

Haih.. bingung otak aku memikirkan tentang Nina sepanjang hari ini. Aku telah meminta tolong daripada Amna tentang hal ini supaya dia boleh bincang dengan Nina. Tapi, Amna cakap, bila dia sebut nama aku depan Nina, terus Nina jadi gelabah. Aku tanya, Amna ada tanya tak kepada Nina kenapa dia gelabah, Amna beritahu dia dah tanya, tapi Nina tak jawab.

Mendengar kata-kata Amna, aku pasrah. Aku tahu dan aku pasti bahawa Nina tak akan tahan kalau dia berbuat begini padaku. Aku yakin juga yang suatu hari nanti Nina akan menjelaskan segalanya.

Tapi.. Bila? Yang tu, aku tak tahu. Hanya mampu berdoa sajalah agar ‘hari’ itu dapat dipercepatkan.


Setelah menjumpai kelibatnya, aku pantas memberhentikan basikal. Setelah menurunkan tongkat basikal, aku menuju ke arahnya perlahan-lahan agar ‘mangsa’ tak perasan akan kehadiranku. Kedudukan aku dengannya semakin hampir. Akhirnya, aku menyergahnya.

“Nina..!”

Nina tersedak kemudian terbatuk-batuk. Mukanya merah. Opss.. Aku tak tahu pula ketika itu Amna belanja Nina makan ABC. Apa yang aku diberitahu Amna, dia dan Nina berada di warung Mak Cik Seha. Mujur tak lama Nina batuk. Semua mata di warung itu memerhati kami. Aku hanya tersengih seperti kerang busuk.

“Apa ni, Auni?!” Nina menjerit perlahan agar tidak mengambil perhatian pelanggan-pelanggan di situ. Malu sungguh.

“Ampun.. saya tak tahu pula awak tengah minum ABC.” Aku memohon maaf. Kerusi kosong di sebelahnya diduduki. “Wahh., minum ABC tak ajak pula tu,”

Pada mulanya, Nina teragak-agak untuk berbual denganku. Tetapi setelah Amna memujuknya dengan isyarat tangan, Nina hanya akur.

“Mak Cik Seha, ABC lagi satu!” laung ku. Mak Cik Seha memberi isyarat ‘ok’.

“Nina, kenapa awak asyik larikan diri daripada saya?” mukaku yang dari tadi selamba, kini menjadi serius.

“A.. wak nak main kat taman permainan tak nanti?” Nina cuba mengelak daripada menjawab soalanku tadi. Aku terdiam. Aku cuba memberi Nina sekuntum senyuman namun tidak berjaya.

“Ok..” Aku membalas, serius. Beberapa minit kemudian, aku cuba bertanya Nina soalan yang sama. Dia buat tak tahu sambil menghirup ABC nya yang hampir habis. Amna pula asyik membelek telefon bimbitnya sambil menghabiskan milkshake nya.

Aku menghela nafas, lemah. Aku mengambil keputusan untuk tidak bertanya lagi. Namun, mujur hubungan aku dan Nina sudah kembali normal. Biarlah soalan itu tidak keluar daripada mulutku lagi. Aku tahu Nina tak sedia menjawabnya.

Keadaan kembali sunyi. Aku tak tahu nak bual pasal apa. ABC yang dari tadi kuhirup tak henti-henti sudah habis. Begitu juga Nina. Kemudian, aku lihat Amna berdiri dan memecah kesunyian ini.

“Jom, main buaian. Belum ada orang lagi kat situ.” Amna melangkah ke buaian, tempat yang kami selalu main pada waktu petang diikuti aku dan Nina.
KRIIIIINGGGGGGG....!!!

Waktu yang ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar akhirnya tiba jua. Masa pulang! Setelah Cikgu Fendi keluar daripada kelas 5 Unggul, aku mengemas beg sekolahku manakala sesetengah murid sudah meninggalkan kelas, termasuk Nina.
Fikirku, tak mengapalah. Mungkin dia akan tunggu di pintu pagar nanti kerana selalunya dia menunggu aku untuk pulang bersama. Amna hari ni tak datang kerana demam.
Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Malam tadi, aku telah bermimpi sesuatu yang ngeri, dahsyat dan menyeramkan! Ianya adalah..
GELANG PERSAHABATAN AKU TELAH HILANG!!
Namun, aku cakap ianya mimpi. Ianya lebih menyeramkan dan ngeri apabila aku bangun, aku lihat gelang yang aku selalu letak di atas meja di sebelah katilku, dan barulah aku sedar yang..
IANYA BUKAN MIMPI!!
Sesetengah orang suka apabila 'their dream comes true', tapi kali ini, bukan untuk aku! Jenuh aku fikirkan alasan yang terbaik untuk diberikan kepada Nina kerana aku tahu :- Dia pasti akan memarahi aku!
Habislah, habislah! Apa yang aku nak buat untuk tidak bertembung dengan Nina?...... Hah! Aku tahu!
Aku menuruni tangga dan memeluk mama. Aku pura-pura lemah. Rancanganku supaya mama ingat aku ni demam dan menyuruh aku berehat sahaja di rumah.  Ya.. bijak, bijak..
"Mama.. Auni rasa nak demamlah.. tak nak pergi sekolah, boleh?"
"Eh? Tiba-tiba pula demam. Meh sini mama rasa dahinya tu," mama menyentuh dahiku, lembut. Aku pun dalam hati.. alamak! Bodohnya aku! Kenapa aku tak teringat tentang ni?
"Tak panas pun. Nak tipu agak-agak dulu, eh?" Mama berkata sambil melemparkan senyuman. Namun, bagiku ianya agak sinis.
Dan.. dengan rasminya rancangan aku gagal. Aaaaaaahhhh... ok, takpe.. tarik nafas, lepas.. tarik nafas, lepas..
Ini rancangan terakhirku. Senang cakap Plan B aku. Sepanjang harini, aku akan mengelakkan diri daripada bertembung dengan Nina mahupun Amna. Ya! Hanya lari bila nampak mereka.
Aku teruskan perjalananku daripada bilik darjah hingga ke pagar sekolah. Alamak! Aku ternampak Nina berdiri di situ! Barangkali menungguku untuk balik rumah sama-sama.
Aku gelabah seketika.. ah! Jalan sajalah. Tunduk muka.. buat-buat tak nampak.. jalan..
"Auni!" Erk! Dia perasanlah! "Kenapa ni? Jomlah balik sama-sama." Tegur Nina.
"Err.. saya.. tu.. ini... emm.." aku nak beritahu perkara sebenar. Tapi, pengakuan itu tersekat di kerongkongku. Ahh...!
"Cakap sajalah!" Nina terkejutkan aku. Oleh kerana aku ni mudah terkejut, semua pengakuan yang tersekat dalam kerongkong aku tadi pantas keluar.
"GELANG SAYA DAH HILANG!" aku menekup mulutku. Rasa kesal dan rasa lega menyelubungi aku.
Pada mulanya, Nina kelihatan terkejut. Namun, kemudian dia tersenyum. Sesuatu yang tidak dijangka sungguh! Dahiku berkerut seribu.
"Ke..kenapa awak tersenyum! ?" Aku separa terjerit.
Nina menunduk dan menghembus nafas. "Maafkan saya, Auni. Saya kagum dengan awak."
Mataku membuntang. Adakah aku berada di hadapan Nina yang aku kenal? Aku ketika itu bagaikan mahu menggoncang kuat bahu Nina sambil menjerit, SIAPA AWAK!? APA YANG AWAK DAH BUAT DEKAT NINA YANG SEBENAR!?
"Huh.. Sebenarnya. . Saya..."
Aku menunggu ayat Nina yang bakal disebut dengan gundah. Aku harap jawapannya bukanlah 'Saya bukan Nina yang sebenarnya.. Nina diculik oleh makhluk asing'. Wah! Tahap imaginasi aku sudah melampaui batas!
"Gelang saya pun hilang juga."
APA!!??
Kami terdiam seketika.  Tak lama selepas itu, kami terus ketawa terbahak-bahak.
"Ooh, patutlah hari tu awak asyik gelisah je masa jumpa saya hari tu.." kataku apabila ketawa kami reda.
"Tulah, saya takut awak tanya tentang gelang saya. Rupanya, kita dua kali lima. Tapi, saya kagum bila awak berani kasi tahu perkara sebenar."
"Berani? Bila awak terkejutkan saya, barulah saya berani." kataku, tersengih.

"Hahahaha! Awak memang kuat terkejutlah, Auni!" ketawanya pecah lagi.

"Eh, sudah lama kita di sekolah. Lihat, murid-murid pun dah tak ramai. Marilah balik! Saya tak sabar nak makan tengah hari ni. Agak-agaknya, mama saya masak apa, ya?" Aku mulai terangan-angan tentang nasi khabsa yang mama pernah berrjanji untuk memasaknya dahulu.  Aku mula meliur. Pasti Sedap!

"La, rupa-rupanya kamu berdua sama je. Hilang gelang. Dua-dua mungkir janji." Amna kata.

"Hehehe.. ampunkan kami penunggu gua.." kata Nina sambil berbuat muka manja sambil tersengih.

"Kebetulan sajalah! Lagipun senanglah awak cakap, gelang awak Khairil dah pulangkan." Aku mencebik.

"Yalah, yalah.. apapun, ni gelang saya simpan kat rumah. Banyak. Kamu berdua ambillah." Amna menghulurkan dua gelang yang tak jauh bezanya daripada gelang aku dan Nina dahulu. Melihat itu, aku dan Nina berpandangan.

"Err.. awak patut kasitau tu sebelum kita beli gelang persahabatan tu sorang satu, kan?" Nina berkata, mendatar.

"Oh.. a 'ah! Saya terlupa hari tu." Amna menggaru kepalanya.

"Awak tahu tak, kalau awak beritahu, kami takkan kehilangan tiga ringgit?" ujarku pula.

"Err.. korang.." Amna mengundur setapak melihat muka aku dan Nina yang dah lain macam. Aku dan Nina pula maju setapak demi setapak. Kemudian, kami menerkam Amna!

"AAAMNNAAAAAA............!!!!!" teriak kami lantas mengejar Amna. Amna pula lari bagaikan tak cukup tanah!

Taman permainan itu mula menjadi riuh dengan jeritan dan tawa kami!

Kemudian, aku termenung lagi. Barulah aku sedar, gelang persahabatan tersebut hanyalah perhiasan, namun yang mengikatkan persahabatan kami adalah keikhlasan dan kejujuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan